Translate

Total Pageviews

Wednesday, December 7, 2011

TERKINI TAPI TAK SENSASI! :P


Mengemaskini laman sesawang ku ini seakan menjadi satu perkara aneh sejak beberapa lama kebelakangan ini.

Bukan kerana tidak mahu berkongsi pandangan atau cerita terkini, sebaliknya, apa yang tersurat dan tersirat difikiran seringkali gagal ditafsirkan melalui kata-kata bertulis, dek kerana kesibukkan menjalan rutin harian sebagai Koresponden Wilayah Utara bagi Bernama TV.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan berbuat demikian mengakibatkan pelbagai cerita yang seharusnya disampaikan menjadi basi, dan tidak lagi boleh di muat naik.

Jika aku masih berdegil untuk menulis, maka, pastinya mereka yang meluangkan masa membacanya, kecewa kerana apa yang ditulis tidaklah bersifat isu semasa.

Mahu berbicara mengenai politik, aku sudah seakan tidak berminat lagi.

Semuanya kerana rasa kecewa yang aku rasa melihat kepada perkembangan politik negara.
Tiada apa yang boleh dibanggakan.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), meskipun dilihat cuba tampil dengan pelbagai transformasi, masih gagal untuk membuktikan keikhlasan apabila pelbagai skandal baru didedahkan kepada umum.

Pembangkang pula tampak begitu kuat, apatah lagi sejak kejayaan dalam PRU Ke 12, suara mereka lebih kuat didengar di Parlimen, mahupun, melalui kepimpinan di peringkat negeri.

Tetapi itu juga bukan baik seperti yang disangka.

Pihak yang disini juga banyak pincangnya.

Terlalu banyak perkara yang dipercayai mampu diselesaikan dan dipadam sebaik mengambil alih tampuk kepimpinan, tidak menjadi dan membuatkan rakyat memikir kembali akan keberkesanan kuasa pembangkang ini sebagai pemerintah.

Dimudahkan bicara, kedua-dua pihak tampak mempunyai peranan yang tidak begitu meyakinkan.
Apapun, mereka inilah yang memimpin negara, dan mahu atau tidak, terpaksa juga dizahirkan sokongan.

Bagaimanapun sokongan ku pastinya bukan atas kapasiti parti, tetapi lebih kepada keperluan setempat, keupayaan calon dalam membawa isu rakyatnya ke peringkat yang diamanahkan.

Baik. Berakhir disitu isu politik. Dalam tidak mahu mengulas, panjang lebar juga ulasan (hakikatnya tidak dapat memisahkan diri dari terus menjadi pemerhati politik).

Beralih kepada soal peribadi mungkin akan menceriakan suasana.

Terkini aku baru saja menerima seorang lagi kakak ipar, hasil perkahwinan sepupuku.

Meski hanya sepupu, hubungan dengannya sama seperti adik beradik yang lain.

Lebih-lebih lagi keluarga sebelah ibu ku ketandusan waris lelaki, maka hubungan persaudaraan kami tersangatlah rapat.

Bercerita mengenai perkahwinannya—kakak iparku (pertama kali jumpa malam sebelum perkahwinan) sangat manis orangnya.

Bagaimanapun aku tidak sempat hendak bermesra dengannya, kerana pulang pada hari yang sama majlis berlangsung.

Apapun, dalam kemeriahan suasana sambutan perkahwinan itu, ahli keluarga yang hadir pastinya tidak melepaskan peluang memerli  aku dengan bertanyakan tentang perancanganku pula untuk berumah tangga.

Seakan sudah menjadi satu perkara biasa kerana sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi gurauan sedemikian.

Aku pada usia ketika ini (usia muda) merasakan ianya sesuatu yang jauh lagi untuk difikirkan.
Tapi apakan daya andai jodoh tiba, akan aku terima sahaja.

Tamat sesi reunion keluarga pada kenduri tersebut, satu lagi kenduri menanti pada 30 Disember ini.

Tidak sabar rasanya, Cuma harapanku jangan ada lagi peril memerli, Tanya bertanya soal jodoh kahwin.

Sudah agak tertekan mendengar soalan yang sama berulang-ulang.

Apapun, dalam penceritaan kali ini, tiada gambar yang dilampirkan.

Bukan tidak mahu muat naik, tetapi memang tiada satu pun gambar dari cerita diatas untuk dipamer.

Apapun, pastinya satu cerita menarik menanti dalam entry seterusnya—Ya, mengenai anak saudaraku Divyaesh Kumar Logesparan.

Nantikan Entry tersebut ya!:)