Translate

Total Pageviews

Wednesday, December 7, 2011

TERKINI TAPI TAK SENSASI! :P


Mengemaskini laman sesawang ku ini seakan menjadi satu perkara aneh sejak beberapa lama kebelakangan ini.

Bukan kerana tidak mahu berkongsi pandangan atau cerita terkini, sebaliknya, apa yang tersurat dan tersirat difikiran seringkali gagal ditafsirkan melalui kata-kata bertulis, dek kerana kesibukkan menjalan rutin harian sebagai Koresponden Wilayah Utara bagi Bernama TV.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan berbuat demikian mengakibatkan pelbagai cerita yang seharusnya disampaikan menjadi basi, dan tidak lagi boleh di muat naik.

Jika aku masih berdegil untuk menulis, maka, pastinya mereka yang meluangkan masa membacanya, kecewa kerana apa yang ditulis tidaklah bersifat isu semasa.

Mahu berbicara mengenai politik, aku sudah seakan tidak berminat lagi.

Semuanya kerana rasa kecewa yang aku rasa melihat kepada perkembangan politik negara.
Tiada apa yang boleh dibanggakan.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), meskipun dilihat cuba tampil dengan pelbagai transformasi, masih gagal untuk membuktikan keikhlasan apabila pelbagai skandal baru didedahkan kepada umum.

Pembangkang pula tampak begitu kuat, apatah lagi sejak kejayaan dalam PRU Ke 12, suara mereka lebih kuat didengar di Parlimen, mahupun, melalui kepimpinan di peringkat negeri.

Tetapi itu juga bukan baik seperti yang disangka.

Pihak yang disini juga banyak pincangnya.

Terlalu banyak perkara yang dipercayai mampu diselesaikan dan dipadam sebaik mengambil alih tampuk kepimpinan, tidak menjadi dan membuatkan rakyat memikir kembali akan keberkesanan kuasa pembangkang ini sebagai pemerintah.

Dimudahkan bicara, kedua-dua pihak tampak mempunyai peranan yang tidak begitu meyakinkan.
Apapun, mereka inilah yang memimpin negara, dan mahu atau tidak, terpaksa juga dizahirkan sokongan.

Bagaimanapun sokongan ku pastinya bukan atas kapasiti parti, tetapi lebih kepada keperluan setempat, keupayaan calon dalam membawa isu rakyatnya ke peringkat yang diamanahkan.

Baik. Berakhir disitu isu politik. Dalam tidak mahu mengulas, panjang lebar juga ulasan (hakikatnya tidak dapat memisahkan diri dari terus menjadi pemerhati politik).

Beralih kepada soal peribadi mungkin akan menceriakan suasana.

Terkini aku baru saja menerima seorang lagi kakak ipar, hasil perkahwinan sepupuku.

Meski hanya sepupu, hubungan dengannya sama seperti adik beradik yang lain.

Lebih-lebih lagi keluarga sebelah ibu ku ketandusan waris lelaki, maka hubungan persaudaraan kami tersangatlah rapat.

Bercerita mengenai perkahwinannya—kakak iparku (pertama kali jumpa malam sebelum perkahwinan) sangat manis orangnya.

Bagaimanapun aku tidak sempat hendak bermesra dengannya, kerana pulang pada hari yang sama majlis berlangsung.

Apapun, dalam kemeriahan suasana sambutan perkahwinan itu, ahli keluarga yang hadir pastinya tidak melepaskan peluang memerli  aku dengan bertanyakan tentang perancanganku pula untuk berumah tangga.

Seakan sudah menjadi satu perkara biasa kerana sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi gurauan sedemikian.

Aku pada usia ketika ini (usia muda) merasakan ianya sesuatu yang jauh lagi untuk difikirkan.
Tapi apakan daya andai jodoh tiba, akan aku terima sahaja.

Tamat sesi reunion keluarga pada kenduri tersebut, satu lagi kenduri menanti pada 30 Disember ini.

Tidak sabar rasanya, Cuma harapanku jangan ada lagi peril memerli, Tanya bertanya soal jodoh kahwin.

Sudah agak tertekan mendengar soalan yang sama berulang-ulang.

Apapun, dalam penceritaan kali ini, tiada gambar yang dilampirkan.

Bukan tidak mahu muat naik, tetapi memang tiada satu pun gambar dari cerita diatas untuk dipamer.

Apapun, pastinya satu cerita menarik menanti dalam entry seterusnya—Ya, mengenai anak saudaraku Divyaesh Kumar Logesparan.

Nantikan Entry tersebut ya!:)

Thursday, November 3, 2011

TIDAK TERSANGKA

Meskipun laman sesawang ini semakin jarang disentuh untuk tujuan kemaskini, namun agak teruja apabila ada insan yang memohon perubahan dilakukan demi untuk menelaahnya.

Yaya..terima kasih kerana sudi singgah menjenguk laman sesawang saya ini.

Dan nescya, saya akan ambil maklum keprihatinan anda dan mereka yang mengambil masa mengunjungi laman ini sehingga hampir mencapai 4 ribu jumlahnya.

Maklumat berguna, dan ilmiah akan saya cuba kongsi dengan lebih kerap! :)

Thursday, September 15, 2011

SEPINTAS LALU PEMANSUHAN ISA



Aku sememangnya menantikan ucapan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) hari ini, susulan dari laporan beberapa media yang memaklumkan aka nada pengumuman penting dilakukan.

Jangkaan atau spekulasi, akhirnya apa yang difikir-fikir sudah sampai ke pengetahuan apabila DSN mengumumkan akan berlaku transformasi politik, dengan beberapa buah akta yang disifatkan ketinggalan zaman dan tidak perlu akan dimansuhkan.

Untuk gambaran sebenar apa sebenarnya kandungan disebalik ucapan beliau, baca  Baca perutusan khas hari malaysia DSN ini.

Menerusi bacaan semuala teks tersebut, beberapa akta akan dimansuhkan, tetapi yang PALING hangat diperkatakan sudah tentu pemansuhan AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA).

Akta ini dikatakan akan digantikan dua akta lain, yang bertujuan bagi tujuan pencegahan.

Apapun, pengumuman ini menimbulkan reaksi langsung yang pelbagai. Ada yang gembira, ada yang tidak, da nada sekumpulan lagi yang nyata tidak mahu mengambil pusing mengenainya.

Golongan yang bergembira dengan keputusan ini nyata majoriti. Ini kerana hampir setiap rakyat Malaysia menentang ISA secara langsung atau tidak, meskipun hakikatnya perkara itu kurang disuarakan masyarakat umum.

Golongan aktivis dan politik terutamanya pembangkang dilihat paling lantang menentang penggunaan undang-undang ini kerana ia disifatkan sebagai menentang hak  seseorang individu.

Namun, tidak dapat dinafikan, ada golongan pro-kerajaan yang juga menentang idea pelaksanaan undang-undang ini dan mahu ianya dikaji semula-samada mengolah pelaksanaannya atau memansuhkannya terus.

Ironinya, suara ramai pihak ini sudah sedia diketahui DSN ketika mana beliau mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri April 2009.

Namun, pelbagai teka teki yang dilayangkan menjadikan persoalan mengenainya terus menerus dibangkitkan, dan ditentang.

Namun, dengan pengumuman diluar jangkaan ini, pastinya mewujudkan satu peralihan drastik tanpa jangka.
Namun begitu, terdapat kumpulan masyarakat yang risau apabila undang-undang ini dimansuhkan.

Logik hujah mereka adalah apabila ianya berjaya mengekang pelbagai keterlanjuran dari terjadi, dan keberkesanannya sepanjang ia dilaksanakan.

Hakikat undang-undang umpama ISA diperlukan terbukti apabila negara seperti Amerika dan United Kingdom juga mewujudkan akta serupa selepas kejadian 9/11.

Apapun, janji aka nada undang-undang baru diwujudkan dilihat mampu memberikan bayangan ISA dengan pelaksaan yang lebih baik andai dilihat kepada kata-kata DSN yang menjelaskan,

“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.”~DSNajib

AGENDA POLITIK??

Bagi aku, ya! Ini adalah agenda politik kerajaan pimpinan DSN bagi memulihkan kembali sokongan rakyat menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.

Tempoh yang semakin singkat menjelang PRU-13 ini perlu dimanfaatkan bagi memperkasakan kepimpinan negara yang boleh dijadikan modal dalam memastikan kepimpinan negara kekal dibawah Barisan Nasional (BN).

Selain itu, tindakan tersebut dilihat mematahkan isu yang dicanang bertahun lamanya oleh pembangkang bagi memastikan mereka terus dengan momentum bangkangan.

Ini sekaligus menampakkan DSN berani mengambil langkah luar jangka bagi memastikan survival politik beliau dan pimpinannya.

REAKSI PEMBANGKANG…
Rata-rata mereka yang memberikan maklumbalas dilihat senyap dari menyatakan ianya satu tindakan yang betul.

Meskipun ini adalah sebenarnya perjuangan mereka, ramai yang melihat pengumuman tersebut sebagai pematah bagi mereka untuk meneruskan agenda bangkangan.

Mereka kini perlu menerjah beberapa isu baru, dan memperkukuhkannya.

Maka, beberapa komen sinis menyatakan ianya taktik politik seakan dapat dijangka.

Malah ada dikalangan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan tindakan tersebut, seolah-olah apa yang dilakukan adalah tidak betul, walhal itu adalah perjuangan mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa mereka kurang ikhlas dalam memperjuangkan pemansuhan tersebut, sebaliknya melakukan ia untuk kepentingan politik.

Malah, kenyataan pemimpin pembangkang yang berbunyi

“tak perlu skeptikal- dia janji mansuh ISA & ganti ngan 2 akta baru!Tak susah utk hadam! Artikel 149Perlembagaan benarkan akta zalim yg baru!”~ LateefaKoya

Menunjukkan bahawa minda sudah diprogram seolah-olah bahawa setiap yang dilakukan BN adalah zalim.

Ini adalah tindakan yang jelas bersifat berbaur politik, sekaligus mewujudkan persoalan tentang apakah kerajaan tidak perlu mengemuakan akta baru tersebut?

Dalam soal ini, kes boleh diumpamakan –“Buat Salah, Tak Buat Pun Salah”.

Harus difahamkan bahawa kerajaan BN mempunyai banyak kepincangan, bagaimapaun, menilai 
sesuatu sebelum ianya dilaksanakan adalah tidak patut dilakukan apatah lagi oleh kalangan pemimpin yang kini memukul canang mahu menggantikan kerajaan ketika ini.

KESIMPULAN
Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh DSN adalah hasil perjuangan ramai, tertuamanya rakyat, dan tak dapat dinafikan PEMBANGKANG, serta aktivis sosial.

Perjuangan berterusan jelas menghasilkan buah nikmat yang boleh dikongsi bersama.

Pujian juga perlu dilayangkan kepada DSN kerana berani mengambil langkah yang belum pernah dilakukan kepimpinan terdahulu, meski ia dikatakan berteraskan kepentingan politik.

Tidak mengapa kerana pada pandangan peribadi, saya merasakan perjuangan mengenainya oleh pembangkang juga bermotifkan politik.

Apa yang penting, akta baru akan lebih adil, dan diwujudkan tanpa memberikan kesan besar seperti ISA.

Monday, September 5, 2011

NORAMFAIZUL DALAM KENANGAN



Tanggal 2 september, sekitar jam 11.45 malam, aku menerima panggilan dari rakanku di Bernama TV Kuala Lumpur, Kamalavacini Ramanathan, yang dalam nada terkejut, dan penuh emosi menyampaikan maklumat tentang rakan kami-NORAMFAIZUL MOHD NOR sudah terbunuh.
Tersentak jiwaku sesaat. Fikiran aku terus teringat akan ketiadaan Arwah di bumi Malaysia, kerana sedang bertugas di bumi Somalia.
Lantas, soalan yang kurasa paling waras ditanya adalah bagaimana beliau boleh meninggal! Sangkaku kemalangan~dan mahu mengelak dari mendengar beliau ditembak.
Namun, sangkaku tepat, Kamala memaklumkan arwah ditembak-dan terbunuh setelah beberapa minit mendapatkan rawatan. Perkara tersebut sudah dikemaskini dibeberapa laman berita termasuk BERNAMA.
Sesak dadaku seketika, tidak mampu untuk meminta otakku menerima maklumat itu. Aku tidak bersedia menerima perkhabaran itu.
Aku tidak pernah terfikir, seorang yang aku kenal rapat, kaya dengan senyuman, dan gurau manja akan pergi sebegitu rupa menyahut seruan Illahi.
Tambah menyedihkan, aku tidak menyampaikan kepadanya tentang perpindahan aku ke Pulau Pinang dulu, malah tidak pun sempat bermaaf-maafan andai terpalit dosa sepanjang mengenali Arwah.
Dengan kata terima kasih, aku terus meluru mendapatkan alat kawalan jauh ASTRO dan menukar siaran ke BERNAMA TV 502.
Benar-Faizul sudah meninggal. Ticker ringkas makluman beliau sudah tiada, dipaparkan.
Terpaku seketika. Dihati gelora memuncak memikir nasib rakan sekerja Khairul Anuar Yahya (Kyrel) yang turut sama menyertai misi itu. Aku mahu tahu apa yang terjadi pada beliau-apakah beliau selamat.
Lantas, netbook dicapai, dan perkara tersebut digoogle. Facebook sudah memukul canang kehilangan Faizul. Status rakan-rakan melahirkan kesedihan hilangnya seorang rakan yang baik.
Lega apabila Kyrel mengemaskini status- Anuar Yahaya
“Saya selamat. Terima kasih. Tapi saya kehilangan cameraman yang paling saya sayang. Ingat lagi kata-kata dia untuk assignment ni. "kalau adik tak pergi, abang tak pergi." alfatehah abg faizol.”
Namun, jauh disudut hati terbit kekesalan yang amat kerana tidak akan berpeluang melihat lagi wajah Arwah faizul.
Setiap gerak berita aku ikuti-dan ketika itulah aku terbayang detik pertama aku mengenali Faizul.
Aku mengenali Faizul pada Julai 2008, ketika memulakan latihan Industri di Bernama TV.
Tidak seperti jurukamera lain, Abang Faizul tampil ceria, seprti sudah mengenaliku bertahun lama.
Soalan yang pertama diajukan-Adik dari mana?? Setiap jawapan aku kemudiannya disambut dengan bermacam  persoalan.
Tugasan di PWTC mengenai pameran keselamatan, dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Visual yang diambil begitu kretif dan banyak, dan siap memberikan ulasan setiap visual yang disediakan.
Katanya-“Abang bagi banyak visual kat Adik, nak pakai mana-pakai! Cantik2 abang bagi”
Betul-tidak aku dapat nafikan visual yang diberikan kepadaku adalah antara yang terbaik.
Dan hari-hari mendatang, setelah aku diterima bekerja di Bernama TV, aku terus dididik. Setiap kali menaiki kereta soalan yang wajib diterbitkan adalah apakah sudut cerita yang aku hendak gunakan untuk menggambarkan berita aku  kelak.
Mudahnya bekerja dengan beliau, adalah kerana dirinya yang kaya senyuman, dan tidak pernah ada terbit wajah muram, seolah-olah arwah tidak dihimpit masalah.
Setiap apa yang aku lakukan, pasti dipuji dan dikritik.
Mengingat kembali semua ini, hatiku menjadi begitu pilu. Beliau begitu akrab dengan semua pihak, tidak mengira bangsa, agama.
Beliau digemari semua wartawan penyiaran.
Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan lebih mengetahui. Arwah yang sepatutnya tiada dalam senarai  mereka yang menyertai misi bantuan ke Somalia, bagaimanapun memilih untuk menyertai misi itu.
Mungkin sudah tertulis ajalnya disana, dan pulangnya Arwah sebagi wira negara.
Apapun, kehilangan beliau adalah pengajaran terbaik kepada kalangan mereka yang menganjurkan misi untuk menilai kembali keperluan keselamatan kendiri setiap anggota misi dipelihara.
Jangan menunding jari kepada kesalahan pihak lain, ketika mana diri sendiri sedang dikritik hebat kerana disifatkan gagal dalam menggalas peranan memimpin misi itu secara baik.
Dan yang paling penting, ungkapan gentleman-“Saya mohon maaf diatas kegagalan misi yang saya ketuai melindungi Arwah. Kami akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam misi-misi seterusnya” mungkin tampak lebih manis dan bertindak sebagai penyejuk hati berbanding mengeluarkan kenyataan yang bersifat menyelamatkan diri.
Ya..apa yang terjadi adalah takdir, tetapi tidak salah jika takdir itu diangkat sebagai satu pengajaran berguna secara terhormat!
Apapun, kedangkalan kumpulan ini dalam menafikan tanggungjawab mereka, sememangnya tidak akan dapat mengembalikan Arwah kepada kami.
Justeru, tenanglah kamu Abangku di sisiNya. Semoga pergimu sebagai wira kepada kami semua, akan diberkatiNya, dan kamu akan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
Saya sayangkan Kamu Abang Faizul. Terima kasih diatas segala tunjuk ajar!

Sunday, July 31, 2011

KETAKSUBAN POLITIK

Aku baru-baru ini menerima serangan bertubi-tubi kalangan penyokong pembangkang susulan tindakan aku menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuanku Sultanah Johor yang mendakwa BERSIH 2.0 telah dirampas oleh sesetengah pihak.

Rujuk ARTIKAL INI yang menerangkan dengan lebih lanjut tentang apa yang dinyatakan Tuanku Sultanah, serta hujah-hujah saya membidas kenyataan yang mengecam sokongan saya kepada baginda Tuanku.

Ramai kalangan mereka yang mengecam saya dilihat menyokong campurtangan politik dalam penganjuran BERSIH-yang mana secara dasarnya tidak saya persetuju. Ini kerana-ironinya BERSIH 2.0 adalah sebuah pergerakkan yang diwujudkan dengan ertikata mahukan sebuah tuntutan dilakukan kepada SPBYDPA Tuanku Mizan berhubung perjalanan pilihanraya.

Dominasi kepimpinan parti politik dalam penganjuran BERSIH ini sedikit sebanyak menenggelamkan hasrat sebenar kepimpinan BERSIH itu sendiri. Natijahnya, sokongan yang sewajarnya dizahirkan kepada tuntutan bertukar menjadi seolah-olah sokongan kepada parti pembangkang yang dilihat sebagai rakan kongsi penting dalam pergerakkan ini.

Bukan Ambiga yang dikejar media pembangkang, sebaliknya Anwar Ibrahim. Ini jelas menunjukkan bahawa ianya telah dimanipulasi parti politik bagi menggambarkan seolah-olah sokongan yang dizahirkan kepada perhimpunan tersebut adalah sokongan 'tidak langsung' kepada pembangkang.

Bagaimapun ketika mengulas perkara ini, saya dikecam kerana disifatkan tidak tahu sebab sebenar penganjuran bersih, keperluan dan kepentingan parti politik dsb. Yang paling menjelikkan apabila ada yang menghambukan kata-kata yang menghina pandangan saya itu.

Apakah ini contoh kepimpinan yang dikehendaki..saya kurang pasti.

Berbalik kepada insiden tersebut, saya terpaksa memaklumkan kepada mereka yang saya bukan penyokong mana-mana parti politik, dan bercakap atas kapasiti seorang yang bebas bercakap.

Mujur ada seorang dua yang memahami maksud perkara yang disampaikan itu.

Dan ketaksuban penyokong parti politik yang bersetuju BERSIH didominasi parti politik secara tidak langsung membuktikan bahawa ianya mempunyai agenda politik yang jelas.

Apa yang lebih menghairankan, pandangan saya yang dibuat secara bebas-apabila tidak bersifat menyokong tindakan mereka-penyokong pembangkang terus menghentam tanpa mengambil maklum apa yang sebenar-benarnya mahu disampaikan saya.

Sikap tidak mahu menerima pandangan yang berbeza..menampakkan mereka sudah mengunci hati dan menetapkan pendirian.

Inilah masalahnya bila diri diselubungi ketaksuban politik,. Tidak kisahlah siapa..dari parti mana. Sesiapa saja, bilamana taksub dengan satu-satu perkara, inilah natijahnya..tidak mahu menerima hakikat dan menganggap apa yang dipercayai betul pada pandangan mereka adalah yang betul selamanya!

Moral of the story-aku tidak sepatutnya masuk gelanggang yang dipenuhi mereka yang tidak faham maksud perkara yang aku bawakan.

Baik aku luahkan saja pandangan aku disini, dari buang masa melayan karenah juak-juak emosional diluar sana! Huhu..

Saturday, July 16, 2011

KENAPA ORANG SOKONG BERSIH 2.0?

Seperti yang aku maklumkan dalam terdahulu mengenai isu ini, apa yang aku sampaikan adalah dengan niat tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak. Ianya sejujur mungkin mahu disampaikan mengikut pandangan peribadi tanpa dipengaruhi mana-mana pihak/fahaman.

Dan sekali lagi, saya tegaskan, saya tidak membantah tuntutan BERSIH 2.0, tetapi dalam masa yang sama, tidak sama sekali menyokong apa yang telah mereka lakukan pada 9 Julai lalu.

Baik, memulakan bicara.

Setelah lebih seminggu perhimpunan BERSIH 2,.0 mengambil tempat, masih ramai yang sedang bercakap mengenai keadaan/kejadian tersebut.

Meskipun pihak pembangkang dilihat memanipulasi keadaan dengan menjadikan perhimpunan tersebut 'alat'; untuk menghentam kerajaan, hakikatnya, ramai dikalangan mereka yang menyertainya, mempunyai pandangan yang menjurus kepada bukan sokongan politik kepada mana-mana pihak.

Dengan erti kata lain, BERSIH 2.0 adalah tututan kepada pihak berkuasa mengenai keperluan diadakan pilihanraya yang lebih telus.

Rata-rata penyokongnya kalau dilihat adalah dari kalangan orang muda yang tampil memberikan isyarat bahawa mereka adalah kalangan dihadapan dalam menentang kemungkaran-melalui pelbagai salah laku yang dilakukan kerajaan BN.

Sana sini suara anak muda diperhebatkan menyatakan sokongan kepada pihak pembangkang. Secara konsisten saya menyatakan bahawa BN bukan kerajaan yang baik.

Kenapa aku berkata demikian? Kerana kerajaan pimpinan Umno/Bn banyak melakukan perkara yang tidak memenuhi kehendak rakyat.

ya..kepimpinan boleh mengatakan bahawa segala apa yang dilakukan kini adalah bagi membolehkan Malaysia mampu mencapai status negara maju, menjelang 2020. Tapi apa guna kalau rakyat tidak gembira dengannya.

Paling jelas apabila anak pemimpin ulung negara, Tun Dr Mahathir Mohamad-Datin paduka Marina Mahathir sendiri menyertai BERSIH 2.0. Pengalaman beliau dicatatkan DI SINI.

Dan sebagai seorang belia, aku boleh melihat begitu banyak suara bantahan dari kalangan belia lain, yang secara terbuka mahukan BN ditolak menjelang PRU ke 13.

Lebih memalukan, apabila kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke London 'disambut' oleh penyokong BERSIH 2.0.



Apa yang jelas, ramai kalangan mereka yang menentang kerajaan ketika ini bukan dari kalangan yang buta tentang apa yang berlaku di dalam pentadbiran negara.

Dengan pelbagai kelebihan dunia teknologi maklumat, segala apa yang dikehendaki boleh dicapai dihujung jari.

Dan kalangan cerdik pandai, sudah tidak lagi boleh dimomokkan dengan pelbagai andaian yang bersifat boleh difahami oleh rakyat!

Rakyat pada hari ini adalah TUAN yang benar-benar mahu dilayan seperti TUAN dan bukan menjadi kuli kepada kalangan pemimpin-termasuk PM!

Justeru, menjadi tanggungjawab kepimpinan berubah atau akan diubah. (perkara ini dinyatakan sendiri oleh NAJIB).

Apapun, rakyat hari ini sudah bangkit untuk memberitahu bahawa mereka adalah kuasa sebenar dalam pemerintahan~Jadi, berhenti berdrama, dan berubah, atau bersedia untuk sebaliknya!

P/s-Malangnya~aku tidak mahu Anwar menjadi PM. Tolong bagi option lain Plzzzzz......:P

MY BUDGIES

 Ini AISH
 Ini KRISH
Dan ini mereka berdua 

Sudah lebih 2 minggu sebenarnya aku punya teman baru. 'Mereka' berdua inilah yang menjadi peneman terbaik kepada aku selama 3 minggu ini.

Tidaklah aku rasa sunyi setiap kali balik dari kerja. Sekurang-kurangnya dengan adanya kehadiran kedia Aish dan Krish..ada jugaklah tempat aku hendak meluangkan masa, bercakap..mendengar kelancangan kedua-duanya bising menyatakan sesuatu yang sememangnya aku tidak faham seawal subuh setiap hari.

Sedihnya, sejak anak saudaraku lahir 10 hari lalu, agak 'terbiar' jugak pasangan ini. Kesian mereka. Semalam dan Hari ini aku luangkan masa secukupnya kepada keduanya.

Anyway, tiada apa sangat yang aku boleh ceritakan mengenai 'mereka' berdua, melainkan aku gembira memiliki teman baru ini.

kepada anda yang teringin memiliki Budgie, anda mungkin boleh dapatkan tips awal DI SINI!

Bye!!! :)

Friday, July 15, 2011

POST BERSIH 2.0 LAGI

Sebelum aku mulakan cerita, ingin dimaklumkan bahawa Nenekku sudah kembali mengadap penciptanya pada awal pagi 12 Julai.

Kepada kalian yang beragama Hindu, doakanlah roh nenek saya dipermudahkan laluan dalam alam yang satu lagi.

Baik....kita mulakan cerita tentang apa yang aku hendak sampaikan susulan daripada apa yang berlaku pada 9 Julai lalu.

BERSIH adalah satu fenomena yang pastinya tidak dapat dinafikan dalam mewujudkan kesedaran tentang adanya jumlah sokongan kepada demokrasi yang lebih tersusun dan terbuka, tidak kira dari mana-mana kelompok masyarakat.

Saya seperti dalam posting terdahulu, tak pernah menafikan pemohonan/permintaan/tuntutan atau apa juga yang dipohon oleh pergerakkan itu kerana hakikatnya ia dilaksanakan atas teras mahukan hak mereka didengar.

Namun, yang paling aku tidak sokong adalah kejalanan. Itu juga sudah aku jelaskan secara panjang lebar. TITIK. Mahu mengulang cerita.

Dan apa guna aku buka posting baru ini? Mungkin itu persoalan yang ingin anda sampaikan kala anda membaca baik kata-kata diatas.

Sebenarnya ceritanya begini..aku sering berpandangan bahawa mana-mana pihak berkepentingan politik...akan mengambil tindakan yang menjurus kepada kepentingan itu, dan mengabaikan segala yang bertentangan dengan kemahuan mereka.

Terkini, aku semasa di majlis pengebumian nenek aku di Parit Buntar, terlihat aku akan satu risalah yang menyentuh tentang tindakan sekumpulan masyarakat yang berada di jalanan melakukan demo menentang kepimpinan negeri Pulau Pinang.

Risah itu menggelar tindakan kejalanan oleh sekumpulan lebih satu ribu orang itu adalah berpunca dari UMNO, dan mereka yang menyertainya di gelar 'Pengganas'.

Malah, segala bentuk 'kerosakkan' yang dilakukan oleh kalangan perusuh dan penunjuk perasaan ini digambarkan sebagai paling buruk. Ini termasuk kesesakkan dan kemerosotan perniagaan.

Mahu tergelak guling-guling aku membaca risalah (mujur aku di majlis kematian). Masakan tidak, tindakan sama diambil kalangan pemimpin pembangkang ketika ke jalanan di Kota Metropolitan KL...

Apakah undang-undang/ peraturan yang mereka amalkan. Orang lain buat-salah, mereka buat betul. Akuilah..korang dua-dua sama naik je. Berkepentingan politik, dan menjejaskan! Alahai! sudah-sudahlah....

Sunday, July 10, 2011

POST BERSIH 2.0

Memandangkan ini adalah 'posting' yang merujuk kepada posting terdahulu aku, ingin sekali lagi ditegaskan  kenyataan dibuat berteraskan kepada pandangan peribadi tanpa menyokong mana-mana pihak, dan andai ada kenyataan yang seolah-olah menyokong mana-mana pihak, maknya ianya adalah benar-benar dirujuk untuk tujuan demikan.


Seperti yang dijangka, Perhimpunan BERSIH 2.0 yang kononnya menuntut pilihanraya yang Adil dan Bersih berakhir dengan episod sama seperti perhimpunan haram terdahulu.

Semburan Gas Pemedih Mata dan Pancutan Air menjadikan agenda kumpulan penghantar memorandum yang sepatutnya digerakkan dibawah kepimpinan Datuk S.Ambiga GAGAL mencapai matlamatnya.


Malah, lebih menyayat hati, seorang lelaki berusia lewat 50-an dilaporkan meninggal dunia ekoran terhidu gas pemedih mata.
Sebelum dirujuk lebih lanjut apa yang ingin saya ulas, elok kiranya saya perjelaskannya satu persatu.

Pokok pangkalnya, saya memang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan, meskipun ironinya saya menyokong beberapa tuntutan BERSIH 2.0.

SAYA TIDAK SOKONG DEMO JALANAN

Kenapa saya tidak menyokong demonstrasi jalanan? Mungkin ramai kalangan penyokong BERSIH akan melihat saya ejen BN/UMNO yang sudah disogok dengan pelbagai cerita, sehingga terpengaruh menafikan Perhimpunan yang dijalankan secara aman.

MAAF. Saya bukan buat pertimbangan membabi buta.

Penjelasan saya- saya tidak pernah menyokong usaha demokrasi dicari penyelsaiannya dengan membawa masalah itu ke jalanan. Ini susulan beberapa insiden perhimpunan haram yang telah bertukar tragedi, samada berpunca dari provokasi mereka yang menyertai perhimpunan mahupun pihak berkuasa.

Sejarah membuktikan bahawa setiap satu perhimpunan yang TIDAK mendapat 'restu' kerajaan dan Polis akan berakhir dengan semburan gas pemedih mata dan air.

Justeru, agak BODOH dan TIDAK RASIONAL jika pertimbangan untuk meneruskan perhimpunan dijalankan meski tanpa sebarang kebenaran.

Dan dalam keadaan sebegini, amatlah kurang bertanggungjawab jika seseorang pemimpin itu mahu juga meneruskan apa yang dikatakan sebagai perhimpunan BERSIH itu.

Namun, jelas lagi bersuluh, ia diteruskan juga.

Ini kerana, perhimpunan tersebut sebenarnya sudah dimanipulasi untuk kepentingan Parti pembangkang yang jelas memerlukan sokongan yang utuh bagi memastikan mereka berjaya merampas PUTRAJAYA atau sekurang-kurangnya mempertahankan kemampuan mereka mengekalkan kuasa yang ada ketika ini.

Katalah apa pun tentang ketelusan penganjuran perhimpunan ini, hakikatnya ia sudah terarah kepada pertembungan pembangkang kepada kerajaan. maka tidak hairanlah, ribuan penyokong parti politik digesa untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Sorakkan 'Reformasi', serta kata-kata anti BN/UMNO mengukuhkan pandangan tentang sejauhmana perhimpunan ini tersasar dari landasannya.

Dan kesannya, polis bertindak mengawal keadaan dengan melepaskan gas dan air. Disini ada lagi persoalan yang boleh ditimbulkan.

Sejauh mana kesengsaraan kalangan pemimpin kalau dibandingkan penyokong mereka.

Rata-rata pemimpin hadir bersama pengawal peribadi dan penyokong yang bertindak sebagai benteng, mengelakkan mereka terkena serangan polis.

Dan bila keadaan menjadi 'parah', ada yang bertindak lari, dan tidak kurang yang 'bersembunyi' di hospital.

Kalau beginilah gaya seorang pemimpin, mana mungkin pengikutnya boleh rasa selamat ditadbir.

Nyawa orang lain diperjudikan bagi kepentingan peribadi dan kroni.

Berbalik ke cerita kematian seorang lelaki, saya kurang arif tentang berapa ramai tanggungan beliau. Bagaimana jika beliau masih menjadi sumber pendapatan keluarga? Siapa yang akan bertindak sebagai ketua keluarga tersebut. Mengambil postif mungkin BERSIH akan yampil membantu, berapa lama gamaknya bantuan akan disalurkan??

Nagaimana dengam nasib peserta lain yang mungkin tercedera dan tidak berupaya untuk menjalankan tugasan untuk satu-satu tempoh? Siapa  yang bakal menyediakan 'kemudahan' bantuan kepada kelompok ini??

Sebenarnya, BERSIH dianjurkan dengan tidak meletakkan kepentingan rakyat secara total. ianya diadakan dalam keadaan ketidakpuasan kepada kepimpinan dan pentadbiran negara, yang sekaligus mengheret nama rakyat secara keseluruhannya, meski masih ramai diluar sana yang berpandangan tindakan ke jalanan merugikan.

POLIS DAN KERAJAAN 'KURANG BIJAK' MENANGANI MASALAH!

Ini yang mampu aku katakan!

Hakikatnya, kerjaan Malaysia pimpinan Umno / BN terlalu gilakan kuasa sehinggakan sanggup mengambil apa jua langkah untuk memastikan pesaing dimatikan dengan 'all cost'.

Sewajarnya, Perhimpunan BERSIH yang dipukul canang sebagai sebuah demo yang aman perlu dibenarkan dalam usaha kerajaan mendapatkan respon tentang kekurangan yang ada pada mereka, dan bukannya bertindak seolah-olah menafikan hak bersuara mereka.

Tuntutan mereka adalah mudah, iaitu mengadakan perhimpunan yang mengumpulkan sejumlah pihak yang akan menyampaikan memorandum kepada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong.

Sepatutnya kumpulan ini diajak berbincang, diberikan kawasa/laluan khas dan menetapkan jumlah perserta perhimpunan yang dibenarkan menyertai perhimpunan tersebut.

Ini sekaligus memberikan ruang kepada pihak penganjur mengemukakan memorandum kepada Seri Paduka tanpa sebarang masalah.

Sekaligus, langkah provokasi  dan kecederaan dapat dielakkan.

Paling memalukan apabila Polis seolah-olah mahu menutup kesilapan mereka menyembur gas, dan air ke beberapa kawasan sensatif termasuk hospital, selain tuduhan mencederakan peserta perhimpunan.

Apa yang wajar dilakukan polis adalah memaklumkan kepada masyarakat tentang kenapa tindakan tersebut diambil, dan bukannya menafikan tindakan tersebut. Bukti yang dikemukan oleh pelbagai pihak jelas akan mencemarkan nama insitusi kepolisan itu sendiri!

KESIMPULAN

Mudah. Aku sangat konsisten!-KEDUA pihak salah dalam isu ini kerana menggunakan perkataan HAK, DEMOKRASI dan UNDANG_UNDANG untuk membinasakan sebuah hari, dengan mencatatkan sejarah yang buruk dalam kalender harian negara.

Seluruh dunia sedang mengetwakan tindakan BERSIH ke jalanan dan'kebijaksanaan'' melampau pasukan keselamatan dalam menyelesaikan isu tersebut.

Apapun tahniah kepada kedua-dua pihak kerana berjaya meletakkan Malaysia di persada dunia! Anda memang hebat. Sejarah akan menjulang perjuangan / 'kebijaksanaan' ini!

P/s--I Know that BN is not a good government, either do the Opposition!