Translate

Total Pageviews

Thursday, September 15, 2011

SEPINTAS LALU PEMANSUHAN ISA



Aku sememangnya menantikan ucapan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) hari ini, susulan dari laporan beberapa media yang memaklumkan aka nada pengumuman penting dilakukan.

Jangkaan atau spekulasi, akhirnya apa yang difikir-fikir sudah sampai ke pengetahuan apabila DSN mengumumkan akan berlaku transformasi politik, dengan beberapa buah akta yang disifatkan ketinggalan zaman dan tidak perlu akan dimansuhkan.

Untuk gambaran sebenar apa sebenarnya kandungan disebalik ucapan beliau, baca  Baca perutusan khas hari malaysia DSN ini.

Menerusi bacaan semuala teks tersebut, beberapa akta akan dimansuhkan, tetapi yang PALING hangat diperkatakan sudah tentu pemansuhan AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA).

Akta ini dikatakan akan digantikan dua akta lain, yang bertujuan bagi tujuan pencegahan.

Apapun, pengumuman ini menimbulkan reaksi langsung yang pelbagai. Ada yang gembira, ada yang tidak, da nada sekumpulan lagi yang nyata tidak mahu mengambil pusing mengenainya.

Golongan yang bergembira dengan keputusan ini nyata majoriti. Ini kerana hampir setiap rakyat Malaysia menentang ISA secara langsung atau tidak, meskipun hakikatnya perkara itu kurang disuarakan masyarakat umum.

Golongan aktivis dan politik terutamanya pembangkang dilihat paling lantang menentang penggunaan undang-undang ini kerana ia disifatkan sebagai menentang hak  seseorang individu.

Namun, tidak dapat dinafikan, ada golongan pro-kerajaan yang juga menentang idea pelaksanaan undang-undang ini dan mahu ianya dikaji semula-samada mengolah pelaksanaannya atau memansuhkannya terus.

Ironinya, suara ramai pihak ini sudah sedia diketahui DSN ketika mana beliau mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri April 2009.

Namun, pelbagai teka teki yang dilayangkan menjadikan persoalan mengenainya terus menerus dibangkitkan, dan ditentang.

Namun, dengan pengumuman diluar jangkaan ini, pastinya mewujudkan satu peralihan drastik tanpa jangka.
Namun begitu, terdapat kumpulan masyarakat yang risau apabila undang-undang ini dimansuhkan.

Logik hujah mereka adalah apabila ianya berjaya mengekang pelbagai keterlanjuran dari terjadi, dan keberkesanannya sepanjang ia dilaksanakan.

Hakikat undang-undang umpama ISA diperlukan terbukti apabila negara seperti Amerika dan United Kingdom juga mewujudkan akta serupa selepas kejadian 9/11.

Apapun, janji aka nada undang-undang baru diwujudkan dilihat mampu memberikan bayangan ISA dengan pelaksaan yang lebih baik andai dilihat kepada kata-kata DSN yang menjelaskan,

“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.”~DSNajib

AGENDA POLITIK??

Bagi aku, ya! Ini adalah agenda politik kerajaan pimpinan DSN bagi memulihkan kembali sokongan rakyat menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.

Tempoh yang semakin singkat menjelang PRU-13 ini perlu dimanfaatkan bagi memperkasakan kepimpinan negara yang boleh dijadikan modal dalam memastikan kepimpinan negara kekal dibawah Barisan Nasional (BN).

Selain itu, tindakan tersebut dilihat mematahkan isu yang dicanang bertahun lamanya oleh pembangkang bagi memastikan mereka terus dengan momentum bangkangan.

Ini sekaligus menampakkan DSN berani mengambil langkah luar jangka bagi memastikan survival politik beliau dan pimpinannya.

REAKSI PEMBANGKANG…
Rata-rata mereka yang memberikan maklumbalas dilihat senyap dari menyatakan ianya satu tindakan yang betul.

Meskipun ini adalah sebenarnya perjuangan mereka, ramai yang melihat pengumuman tersebut sebagai pematah bagi mereka untuk meneruskan agenda bangkangan.

Mereka kini perlu menerjah beberapa isu baru, dan memperkukuhkannya.

Maka, beberapa komen sinis menyatakan ianya taktik politik seakan dapat dijangka.

Malah ada dikalangan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan tindakan tersebut, seolah-olah apa yang dilakukan adalah tidak betul, walhal itu adalah perjuangan mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa mereka kurang ikhlas dalam memperjuangkan pemansuhan tersebut, sebaliknya melakukan ia untuk kepentingan politik.

Malah, kenyataan pemimpin pembangkang yang berbunyi

“tak perlu skeptikal- dia janji mansuh ISA & ganti ngan 2 akta baru!Tak susah utk hadam! Artikel 149Perlembagaan benarkan akta zalim yg baru!”~ LateefaKoya

Menunjukkan bahawa minda sudah diprogram seolah-olah bahawa setiap yang dilakukan BN adalah zalim.

Ini adalah tindakan yang jelas bersifat berbaur politik, sekaligus mewujudkan persoalan tentang apakah kerajaan tidak perlu mengemuakan akta baru tersebut?

Dalam soal ini, kes boleh diumpamakan –“Buat Salah, Tak Buat Pun Salah”.

Harus difahamkan bahawa kerajaan BN mempunyai banyak kepincangan, bagaimapaun, menilai 
sesuatu sebelum ianya dilaksanakan adalah tidak patut dilakukan apatah lagi oleh kalangan pemimpin yang kini memukul canang mahu menggantikan kerajaan ketika ini.

KESIMPULAN
Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh DSN adalah hasil perjuangan ramai, tertuamanya rakyat, dan tak dapat dinafikan PEMBANGKANG, serta aktivis sosial.

Perjuangan berterusan jelas menghasilkan buah nikmat yang boleh dikongsi bersama.

Pujian juga perlu dilayangkan kepada DSN kerana berani mengambil langkah yang belum pernah dilakukan kepimpinan terdahulu, meski ia dikatakan berteraskan kepentingan politik.

Tidak mengapa kerana pada pandangan peribadi, saya merasakan perjuangan mengenainya oleh pembangkang juga bermotifkan politik.

Apa yang penting, akta baru akan lebih adil, dan diwujudkan tanpa memberikan kesan besar seperti ISA.

Monday, September 5, 2011

NORAMFAIZUL DALAM KENANGAN



Tanggal 2 september, sekitar jam 11.45 malam, aku menerima panggilan dari rakanku di Bernama TV Kuala Lumpur, Kamalavacini Ramanathan, yang dalam nada terkejut, dan penuh emosi menyampaikan maklumat tentang rakan kami-NORAMFAIZUL MOHD NOR sudah terbunuh.
Tersentak jiwaku sesaat. Fikiran aku terus teringat akan ketiadaan Arwah di bumi Malaysia, kerana sedang bertugas di bumi Somalia.
Lantas, soalan yang kurasa paling waras ditanya adalah bagaimana beliau boleh meninggal! Sangkaku kemalangan~dan mahu mengelak dari mendengar beliau ditembak.
Namun, sangkaku tepat, Kamala memaklumkan arwah ditembak-dan terbunuh setelah beberapa minit mendapatkan rawatan. Perkara tersebut sudah dikemaskini dibeberapa laman berita termasuk BERNAMA.
Sesak dadaku seketika, tidak mampu untuk meminta otakku menerima maklumat itu. Aku tidak bersedia menerima perkhabaran itu.
Aku tidak pernah terfikir, seorang yang aku kenal rapat, kaya dengan senyuman, dan gurau manja akan pergi sebegitu rupa menyahut seruan Illahi.
Tambah menyedihkan, aku tidak menyampaikan kepadanya tentang perpindahan aku ke Pulau Pinang dulu, malah tidak pun sempat bermaaf-maafan andai terpalit dosa sepanjang mengenali Arwah.
Dengan kata terima kasih, aku terus meluru mendapatkan alat kawalan jauh ASTRO dan menukar siaran ke BERNAMA TV 502.
Benar-Faizul sudah meninggal. Ticker ringkas makluman beliau sudah tiada, dipaparkan.
Terpaku seketika. Dihati gelora memuncak memikir nasib rakan sekerja Khairul Anuar Yahya (Kyrel) yang turut sama menyertai misi itu. Aku mahu tahu apa yang terjadi pada beliau-apakah beliau selamat.
Lantas, netbook dicapai, dan perkara tersebut digoogle. Facebook sudah memukul canang kehilangan Faizul. Status rakan-rakan melahirkan kesedihan hilangnya seorang rakan yang baik.
Lega apabila Kyrel mengemaskini status- Anuar Yahaya
“Saya selamat. Terima kasih. Tapi saya kehilangan cameraman yang paling saya sayang. Ingat lagi kata-kata dia untuk assignment ni. "kalau adik tak pergi, abang tak pergi." alfatehah abg faizol.”
Namun, jauh disudut hati terbit kekesalan yang amat kerana tidak akan berpeluang melihat lagi wajah Arwah faizul.
Setiap gerak berita aku ikuti-dan ketika itulah aku terbayang detik pertama aku mengenali Faizul.
Aku mengenali Faizul pada Julai 2008, ketika memulakan latihan Industri di Bernama TV.
Tidak seperti jurukamera lain, Abang Faizul tampil ceria, seprti sudah mengenaliku bertahun lama.
Soalan yang pertama diajukan-Adik dari mana?? Setiap jawapan aku kemudiannya disambut dengan bermacam  persoalan.
Tugasan di PWTC mengenai pameran keselamatan, dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Visual yang diambil begitu kretif dan banyak, dan siap memberikan ulasan setiap visual yang disediakan.
Katanya-“Abang bagi banyak visual kat Adik, nak pakai mana-pakai! Cantik2 abang bagi”
Betul-tidak aku dapat nafikan visual yang diberikan kepadaku adalah antara yang terbaik.
Dan hari-hari mendatang, setelah aku diterima bekerja di Bernama TV, aku terus dididik. Setiap kali menaiki kereta soalan yang wajib diterbitkan adalah apakah sudut cerita yang aku hendak gunakan untuk menggambarkan berita aku  kelak.
Mudahnya bekerja dengan beliau, adalah kerana dirinya yang kaya senyuman, dan tidak pernah ada terbit wajah muram, seolah-olah arwah tidak dihimpit masalah.
Setiap apa yang aku lakukan, pasti dipuji dan dikritik.
Mengingat kembali semua ini, hatiku menjadi begitu pilu. Beliau begitu akrab dengan semua pihak, tidak mengira bangsa, agama.
Beliau digemari semua wartawan penyiaran.
Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan lebih mengetahui. Arwah yang sepatutnya tiada dalam senarai  mereka yang menyertai misi bantuan ke Somalia, bagaimanapun memilih untuk menyertai misi itu.
Mungkin sudah tertulis ajalnya disana, dan pulangnya Arwah sebagi wira negara.
Apapun, kehilangan beliau adalah pengajaran terbaik kepada kalangan mereka yang menganjurkan misi untuk menilai kembali keperluan keselamatan kendiri setiap anggota misi dipelihara.
Jangan menunding jari kepada kesalahan pihak lain, ketika mana diri sendiri sedang dikritik hebat kerana disifatkan gagal dalam menggalas peranan memimpin misi itu secara baik.
Dan yang paling penting, ungkapan gentleman-“Saya mohon maaf diatas kegagalan misi yang saya ketuai melindungi Arwah. Kami akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam misi-misi seterusnya” mungkin tampak lebih manis dan bertindak sebagai penyejuk hati berbanding mengeluarkan kenyataan yang bersifat menyelamatkan diri.
Ya..apa yang terjadi adalah takdir, tetapi tidak salah jika takdir itu diangkat sebagai satu pengajaran berguna secara terhormat!
Apapun, kedangkalan kumpulan ini dalam menafikan tanggungjawab mereka, sememangnya tidak akan dapat mengembalikan Arwah kepada kami.
Justeru, tenanglah kamu Abangku di sisiNya. Semoga pergimu sebagai wira kepada kami semua, akan diberkatiNya, dan kamu akan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
Saya sayangkan Kamu Abang Faizul. Terima kasih diatas segala tunjuk ajar!