Translate

Total Pageviews

Monday, September 5, 2011

NORAMFAIZUL DALAM KENANGAN



Tanggal 2 september, sekitar jam 11.45 malam, aku menerima panggilan dari rakanku di Bernama TV Kuala Lumpur, Kamalavacini Ramanathan, yang dalam nada terkejut, dan penuh emosi menyampaikan maklumat tentang rakan kami-NORAMFAIZUL MOHD NOR sudah terbunuh.
Tersentak jiwaku sesaat. Fikiran aku terus teringat akan ketiadaan Arwah di bumi Malaysia, kerana sedang bertugas di bumi Somalia.
Lantas, soalan yang kurasa paling waras ditanya adalah bagaimana beliau boleh meninggal! Sangkaku kemalangan~dan mahu mengelak dari mendengar beliau ditembak.
Namun, sangkaku tepat, Kamala memaklumkan arwah ditembak-dan terbunuh setelah beberapa minit mendapatkan rawatan. Perkara tersebut sudah dikemaskini dibeberapa laman berita termasuk BERNAMA.
Sesak dadaku seketika, tidak mampu untuk meminta otakku menerima maklumat itu. Aku tidak bersedia menerima perkhabaran itu.
Aku tidak pernah terfikir, seorang yang aku kenal rapat, kaya dengan senyuman, dan gurau manja akan pergi sebegitu rupa menyahut seruan Illahi.
Tambah menyedihkan, aku tidak menyampaikan kepadanya tentang perpindahan aku ke Pulau Pinang dulu, malah tidak pun sempat bermaaf-maafan andai terpalit dosa sepanjang mengenali Arwah.
Dengan kata terima kasih, aku terus meluru mendapatkan alat kawalan jauh ASTRO dan menukar siaran ke BERNAMA TV 502.
Benar-Faizul sudah meninggal. Ticker ringkas makluman beliau sudah tiada, dipaparkan.
Terpaku seketika. Dihati gelora memuncak memikir nasib rakan sekerja Khairul Anuar Yahya (Kyrel) yang turut sama menyertai misi itu. Aku mahu tahu apa yang terjadi pada beliau-apakah beliau selamat.
Lantas, netbook dicapai, dan perkara tersebut digoogle. Facebook sudah memukul canang kehilangan Faizul. Status rakan-rakan melahirkan kesedihan hilangnya seorang rakan yang baik.
Lega apabila Kyrel mengemaskini status- Anuar Yahaya
“Saya selamat. Terima kasih. Tapi saya kehilangan cameraman yang paling saya sayang. Ingat lagi kata-kata dia untuk assignment ni. "kalau adik tak pergi, abang tak pergi." alfatehah abg faizol.”
Namun, jauh disudut hati terbit kekesalan yang amat kerana tidak akan berpeluang melihat lagi wajah Arwah faizul.
Setiap gerak berita aku ikuti-dan ketika itulah aku terbayang detik pertama aku mengenali Faizul.
Aku mengenali Faizul pada Julai 2008, ketika memulakan latihan Industri di Bernama TV.
Tidak seperti jurukamera lain, Abang Faizul tampil ceria, seprti sudah mengenaliku bertahun lama.
Soalan yang pertama diajukan-Adik dari mana?? Setiap jawapan aku kemudiannya disambut dengan bermacam  persoalan.
Tugasan di PWTC mengenai pameran keselamatan, dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Visual yang diambil begitu kretif dan banyak, dan siap memberikan ulasan setiap visual yang disediakan.
Katanya-“Abang bagi banyak visual kat Adik, nak pakai mana-pakai! Cantik2 abang bagi”
Betul-tidak aku dapat nafikan visual yang diberikan kepadaku adalah antara yang terbaik.
Dan hari-hari mendatang, setelah aku diterima bekerja di Bernama TV, aku terus dididik. Setiap kali menaiki kereta soalan yang wajib diterbitkan adalah apakah sudut cerita yang aku hendak gunakan untuk menggambarkan berita aku  kelak.
Mudahnya bekerja dengan beliau, adalah kerana dirinya yang kaya senyuman, dan tidak pernah ada terbit wajah muram, seolah-olah arwah tidak dihimpit masalah.
Setiap apa yang aku lakukan, pasti dipuji dan dikritik.
Mengingat kembali semua ini, hatiku menjadi begitu pilu. Beliau begitu akrab dengan semua pihak, tidak mengira bangsa, agama.
Beliau digemari semua wartawan penyiaran.
Namun, kita hanya mampu merancang, Tuhan lebih mengetahui. Arwah yang sepatutnya tiada dalam senarai  mereka yang menyertai misi bantuan ke Somalia, bagaimanapun memilih untuk menyertai misi itu.
Mungkin sudah tertulis ajalnya disana, dan pulangnya Arwah sebagi wira negara.
Apapun, kehilangan beliau adalah pengajaran terbaik kepada kalangan mereka yang menganjurkan misi untuk menilai kembali keperluan keselamatan kendiri setiap anggota misi dipelihara.
Jangan menunding jari kepada kesalahan pihak lain, ketika mana diri sendiri sedang dikritik hebat kerana disifatkan gagal dalam menggalas peranan memimpin misi itu secara baik.
Dan yang paling penting, ungkapan gentleman-“Saya mohon maaf diatas kegagalan misi yang saya ketuai melindungi Arwah. Kami akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam misi-misi seterusnya” mungkin tampak lebih manis dan bertindak sebagai penyejuk hati berbanding mengeluarkan kenyataan yang bersifat menyelamatkan diri.
Ya..apa yang terjadi adalah takdir, tetapi tidak salah jika takdir itu diangkat sebagai satu pengajaran berguna secara terhormat!
Apapun, kedangkalan kumpulan ini dalam menafikan tanggungjawab mereka, sememangnya tidak akan dapat mengembalikan Arwah kepada kami.
Justeru, tenanglah kamu Abangku di sisiNya. Semoga pergimu sebagai wira kepada kami semua, akan diberkatiNya, dan kamu akan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
Saya sayangkan Kamu Abang Faizul. Terima kasih diatas segala tunjuk ajar!

No comments: