Translate

Total Pageviews

Friday, March 16, 2012

APA SALAHNYA MICCAF BUAT TUNTUTAN?

Siapa MICCAF yang aku maksudkan?

Mungkin ramai yang belum mengenali, tetapi MICCAF ini adalah sebuah suara yang lama terpendam dikalangan karyawan filem, dan industri kreatif India tempatan.

Menamakan diri mereka Malaysian Indian Creative Content Action Force (MICCAF) bertindak bangkit menyuarakan perjuangan yang sekian lama terpendam dek kerana tolak ansur.

Isunya mudah. Industri kreatif melibatkan karyawan India tempatan diangkat martabatnya.

Mengangkat martabat bukan dengan memberikan anugerah, tetapi dengan tuntutan agar lebih banyak ruang masa siara diberikan bagi membolehkan karyawan ini terus berkarya.

Apa yang berlaku hari ini adalah, hanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempunyai masa yang khusus untuk menyoarkan, mempertontonkan program pro-karyawan India.

Meskipun kurang pasti tempoh satu-satu slot yang disediakan, Aku yakin hanya RTM yang benar-benar memberikan ruang kepada karyawan ini.

Rangkaian mega lain, seperti ASTRO dan Media Prima misalnya mengehadkan ruang dan peluang yang mereka tawarkan.


ASTRO sebagai contoh mendedikasikan 7 saluran, yang 6 daripadanya secara mutlak memberikan ruang siaran kepada saluran yang diimport dari India.

Sebuah saluran tempatan- Vanavil pula misalnya, turut gagal dalam membantu membangunkan industri tempatan, dengan tawaran yang terhad bagi penerbitan karya tempatan.

Keadaan karyawan India tambah mudarat apabila kesemua empat saluran percuma yang dibawah seliaan Media Prima gagal memberikan ruang siaran, dan hanya melakukan demikian pada sambutan perayaan (Deepavali) misalnya.

Itu pun, karya dari India dan bukannya menggunakan tenaga tempatan.

Justeru, persoalan yang dibangkitkan oleh MICCAF ini adalah jelas.

Mana mungkin karyawan India tempatan boleh bergantung kepada industri kreatif apabila semua saluran yang menjadi periuk nasi tidak 'terbuka' kepada kerja seni mereka.

Diam, didiamkan, berdiam...akhirnya suara-suara ini bangkit untuk menuntut hak.

Aku secara sepenuhnya menyokong usaha mereka ini.

"Proposal" mengenainya sudah diserahkan kepada pihak berwajib, antaranya Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.

Turut menerima  ia, adalah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Sudah tiba masanya Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Keseniaan mengambil inisiatif menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada untuk membentuk kembali struktur siaran, agar tidak pro kepada satu-satu pihak.

Semoga usaha MICCAF ini akan mencapai kejayaan.

Lagi berita mengenai perjuangan MICCAF di SINI , SINI , SINI
FACEBOOK MICCAF SINI

3 comments:

N.S.KRISHNA said...

Saudara Kumar,

Terima kasih dari jiwa & raga saya atas nukilan hati Saudara yang begitu menarik dihiasi patah-patah perkataan yang mencerminkan objektif ikhlas MICCAF yang mewakili lebih 5,000 modal insan kita. Teruskan sokongan Saudara bukan sehingga kita memastikan satu saluran khas untuk kandungan kreatiif India tempatan tetapi berterusan memberi cadangan di samping terlibat bersama MICCAF untuk membangunkan saluran KITA nanti setanding dengan model pembangunan setaraf industri kreatif Korea, Thailand, Singapura dan Taiwan. Marilah kita bekerjasama meningkatkan moral, martabat dan maruah penggiat seni kreatif dan kaum India di Malaysia dan di persada dunia. Media ini harus diguna sepenuhnya dengan segera untuk menyelesaikan seluruh masalah yang dihadapi. Saluran ini harus membawa suatu reformasi dan revolusi yang menyeluruh. Reformasi MEIJI telah menggunakan media sepenuhnya untuk menyedarkan rakyat demi membangunkan Jepun. Saluran ini seharusnya mampu mengubah komuniti India untuk lebih berdikari, progresif, patriotik dan bersama membangunkan tanahair tercinta kita, MALAYSIA.

Nandri.

N.S.KRISHNA said...

TERIMA KASIH...

MR.KUMAR said...

Saudara N.S.Krisha

Saya tidak menjangkakan saudara memberi respon kepada nukilan saya ini. Jiwa saya sebenarnya sangat dekat dengan pejuangan yang dibawa oleh saudara dan rakan-rakan dalam MICCAF. Sebagai seorang mengamal media, saya faham apa keperluan industri kreatif terutamanya melibatkan karyawan India kita. Saya mengharapkan sinar. Teruskan perjuangan. Selamat Berjaya! :)