Setelah sekian lama tidak mencoretkan apa pun khabar berita, pastinya rakan-rakan yang menjadi 'follower' terniat untuk membuang saja laman blog ini dari senarai.
Bukan tidak mahu memberikan perkhabaran, tetapi ada saja kekangan masa dan peluang yang menggagalkan usaha itu.
Setiap kali aku sudah mula menaip, aku terpaksa hentikan, dan bila terhenti, cerita menjadi basi dan aku tidak lagi punya semangat untuk meneruskan coretan.
Justeru, hilanglah apa yang sudah ditaip apabila dengan selama tangan aku menyuruh jari jemari klik pada perkataan 'delete'.
Apapun aku sudah kembali hari ini dengan semangat ingin memastikan apa yang aku taip diselesaikan sebelum berpeluang untuk menghentikannya.
Baik, apa yang aku coretkan diatas ini hanyalah muakdimah yang tidak perlu pun dipedulikan, kerana seperti yang tertera di tajuk, apa yang aku bakal coretkan disini lebih tertumpu kepada Pilihanraya Parlimen P.212, SIBU.
Aku seperti biasa, dihantar ke tugasan yang satu ini, bagi memastikan Bernama TV menyiarkan berita dari kawasan ini.
Untuk makluman anda, kawasan Sibu ini besar dan menghimpunkan tiga buah Dewan Undangan Negeri (DUN).
Majoriti masyarakat disini berketurunan Cina, diikuti Melayu Melanau, Iban dan lain-lain.
Berbeza dengan pengalaman lalu disemenanjung, kehangatan disini jelas tidak terasa sehingga ke saat ini.
Manakan tidak, penduduk disini tidak terlalu terpengaruh dengan perkhabaran isu-isu dan bumi semenanjung mahupun isu nasional.
Apa yang mereka mahu adalah apa yang mementingkan mereka.
Jadi, tidak hairanlah masyarakat disini lebih suka berperang melalui undi dari berperang mulut, slogan dan isu.
Dan pemantauan aku mendapati, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) disifatkan kurang kena. Mungkin aku tersalah kumpulan sasar (masuk kandang DAP), atau mungkin benar pemilihan calon ini tidak kena.
Hakikatnya, hasil pemerhatian dalam pilihanraya terdahulu, aku sifatkan pilihanraya kecil sangat fokus kepada satu-satu tempat.
Justeru pemilihan calon yang tepat sangat penting.
Calon perlulah ada PR yang bagus, dan bijak menawan hati pengundi.
Tapi khabarnya, Calon BN ini kurang sedikit di bab yang itu.
Jadi, peluang kemenangan sangat disandarkan kepada jentera BN.
Apakah beliau akan dimenangkan?
Dan bercakap soal pembangkang pula, calonnya juga disifatkan sebagai seorang yang angkuh.
Sudah berstatus YB, calon ini sepatutnya lebih tahu tentang cara menawan hati pengundi. Mungkin keyakinan yang tinggi atau kekurangan ini berpunca dari sikap pemimpin tempatan, tidak pasti pula saya.
Menariknya, diluar gelanggang politik, kedua-dua calon ini dikatakan rakan baik.
Tidak hairan sebenarnya, kerana masing-masing berlatar belakangkan kerja peguam. jadi mungkin urusan kerja menyatukan mereka, tapi dipisahkan ideologi politik.
Tinggal sehari saja lagi, aku tidak sabar lagi untuk mengetahui siapakah yang akan berjaya mendapatkan kerusi yang satu ini.
Bagi BN, kemenangan ini adalah sangat penting bagi membantu menampakkan kesinambungan kepimpinan dan trend kemenangan BN.
Bagi DAP dan pakatan pembangkang, kemenangan ini diperlukan bagi mematahkan ideologi yang mengatakan rakyat sudah kembali menyokong BN.
Jika DAP menang di Sibu, saya yakin ianya satu tamparan hebat buat BN.
Apapun, keputusan ditangan pengundi, sama-sama kita lihat siapa yang menang dan siapa pula yang kalah...
No comments:
Post a Comment